SETIAP kata-kata
itu, aku dengar dengan teliti. Memang remuk sekali hati aku,
saat mendengar setiap bait ayat-ayat itu. Hatiku hancur remuk,
tidak terkata.
“Maaf, Encik
Zamri dan Puan Aishah. Saya tak faham, kenapa semua ini perlu
berlaku. Hanya beberapa bulan sahaja lagi, majlis perkahwinan
anak kita akan berlangsung. Kenapa baru sekarang, Farid nak
putuskan pertunangan ni? Apa salah anak kami Encik Zamri? Puan
Aishah?”emak memandang wajah dua pasangan suami isteri itu
berganti-ganti. Dari ruang kecil pintu yang sedikit terkuak
itu, aku nampak lihat dan dengar itu semua dengan jelas.
“Maafkan kami
Puan Maznah. Kami pun tak menyangka semua ni. Kebaratan juga
untuk kami datang sini. Tapi memandangkan sebelum ni, kami
datang petik bunga di sini cara baik dan kami juga perlu
pulangkannya dengan cara baik. Kami juga sebenarnya kesal
sangat dengan keputusan Farid.
Semua persiapan perkawinan
mereka, kami dah siap dari awal lagi. Tiba-tiba dia beritahu
kami, yang dia mahu hubungan ini di putuskan.”tertunduk Puan
Aishah. Malu dengan sikap anaknya.
“Apa sebabnya?
Takkan dia tak bagitahu apa-apa?”ayah seperti tidak puas
hati dengan keputusan yang sudah di ambil Farid. Dan aku juga
tidak pernah tahu menahu langsung akan kehadiran rombongan
ini. Farid tidak pernah beritahu aku langsung dia akan
menghantar rombongan untuk memutuskan pertunangan kami ini.
“Sebenarnya...Farid
dah berkahwin. Dua bulan lepas dia berkahwin di Siam. Kami
pun tak tahu. Itu pun sebab, tiba-tiba datang seorang
perempuan pada kami dan mengaku dia isteri Farid.”terang
Encik Zamri kesal.
“Boleh
dipercayai ke, semua tu? Entah-entah itu semua hanya permainan
perempuan tu?”tanya emak pula.
“Mulanya kami
pun fikirkan macam tu. Tapi dia ada bawa bukti. Dan bila di
desak Farid, akhirnya dia mengaku. Mereka dah berkahwin di
Songla, Siam dua bulan lepas. Kami pun terkejut jugak dengan
semua ni. Tak sangka dia buat pada kami macam tu.”Puan
Aishah pula menceritakan pada ayah dan emak. Aku hanya
mendengar semua itu di sebalik pintu bilik yang sengaja aku
biarkan sedikit terbuka.
“Astargfirullahalazim..
Kenapa Farid buat macam tu, kat anak kami? Apa salah anak
kami? Apa kami nak bagitahu Aina?”emak turut berasa sedih
dengan apa yang telah terjadi ini. Emak menyeka airmatanya
yang mengalir dengan hujung tudungnya.
“Maafkan kami.
Kami pun tak dapat nak pujuk Farid lagi.”kendur suara Puan
Aishah.
“Tak dapatlah
kita nak berbesan. Mungkin Farid bukan jodoh anak kami. Cuma
masalahnya sekarang, kami tak tahu nak bagitahu Aina. Tak
sanggup rasanya kami khabarkan semua ni, pada dia.”
Aku berdiri.
Hangat air yang mengalir di pipi, aku seka dengan hujung
jemariku. Cincin yang sudah setahun tersarung di jari manisku
ini, kutanggalkan. Ringan aku melangkah kaki ke arah rombongan
yang datang. Mata semua tertumpu ke arah aku. Aku cuba
kuatkan semangat untuk berhadapan dengan ini semua.
“Aina!”emak
tidak menyangka aku akan bertindak sedemikian.
“Mak. Ayah. Aina
dah dengar semuanya. Dari awal perbualan lagi, Aina dah
dengar. Mak dan ayah tak perlulah rasa susah hati untuk
jelaskan semuanya pada Aina.”aku cuba tahan rasa getaran di
dada aku saat ini. Airmata yang cuba kuseka airnya gugur
juga di hadapan tetamu yang hadir hari ini.
“Aina pergi
masuk.”lembut suara emak. Mungkin dia tidak sanggup melihat
aku di sini. Tapi ini berkaitan dengan aku, dan biarlah aku
dengarnya sendiri. Biar mereka terang sendiri semuanya pada
aku.
“Mak, Aina tak
apa-apa. Makcik..pakcik.. Ini Aina, pulangkan kembali cincin
pertunangan. Dengan ini, dengan terang dan jelas, putuslah
hubungan yang telah mengikatkan kami.”
“Aina...”aku
rasa lemah sahaja. Pelukan Puan Aishah tidakku balas. Diriku
bagaikan sudah seperti patung. Terkaku di dalam pelukan Puan
Aishah. “Aina. Maafkan, makcik sayang. Makcik tak sangka semua
ini berlaku. Makcik kesal sekali dengan tindakan Farid. Kalau
Aina boleh bersabar, makcik akan cuba pujuk Farid, untuk
terima Aina kembali. Teruskan perancangan kita sebelum
ini.”Puan Aishah jelas sekali seperti tidak mahu melepaskan
aku pergi. Tetapi aku tidak mampu untuk menahan itu semua.
Aku bukanlah wanita yang kuat untuk menghadapi itu semua
dengan tenang. Hati wanitaku cukup terhiris dan terluka.
Perlahan aku
menggelengkan kepala. Biarlah kami putus kasih dari meneruskan
hubungan yang tidak pasti lagi akan balasannya. “Tak
perlulah, makcik. Aina tak mahu. Aina terima semua ni, walaupun
hati ni sakit sekali. Tak perlu di pujuk Farid lagi. Ini
keputusan yang di mahu, dan inilah jalan yang di pilihnya. Aina
akan cuba meredhakannya.”
“Betul cakap
Aina, Puan Aishah. Tak perlu di pujuk Farid lagi. Lagipun dia
dah beristeri. Kami tak mahu, anak kami hidup bermadu. Kami
tak mahu anak kami merana selepas berkahwin nanti.”wajah
emak kutenung lemah. Ada benar kata emak. Aku bukanlah wanita
yang sekuat itu. Mampu untuk berkongsi kasih dan sanggup
merampas kebahagiaan rumahtangga orang yang sudah berkahwin.
Aku tak mampu! Aku tak kuat! Dari aku menyiksa hati aku dan
banyak hati yang lain, baik aku mengalah.
Lagipun ini adalah
keputusan yang Farid mahukan. Mungkin dia sudah cukup bahagia
dengan isterinya. Yang tidak mampu aku terima, kenapa Farid
lakukan ini semua pada aku?
WAJAH Farid
kutenung lama. Langsung tidak rasa bersalah yang bersarang di
wajahnya. Dia seperti hari-hari biasa yang kami temui.
Memandang wajah itu, memang cukup membuatkan hati aku hancur
dan terluka. Tergamak dia lakukan aku begini. Hanya lagi tiga
bulan perkahwinan, dia sanggup meminta keluarganya datang ke
rumah dan memutuskan hubungan yang sudah terikat selama
setahun itu.
Ini mungkin
pertemuan kami yang terakhir. Aku ingin dengar sendiri dari
mulut Farid. Kenapa? Mengapa? Dia lakukan semua ini pada aku.
Aku perlukan penjelasan darinya sebelum aku pergi.
“Sebelum Aina
pergi, Aina nak penjelasan dari Farid sendiri.”
“Rasanya semua
dah jelas. Papa dan mama dah beritahu akan sebab, Farid
putuskan hubungan kita.”
“Tapi, Aina nak
dengar dari mulut Farid sendiri. Kenapa Farid tak cakap kat
Aina sendiri?”
Lama Farid diam.
Mulutnya bagaikan sudah terkunci untuk berbual tentang masalah
ini. Baginya sudah cukup dengan apa yang Aina tahu. Dia
sudah pun berkahwin dengan Fiza. Tiada apa yang perlu
diperjelaskan lagi.
“Kenapa Farid?
Kenapa?”
“Sebab kita
takda jodoh.”
“Kalau Farid
tak mahu kahwin dengan Aina, kenapa Farid ikatkan hubungan
kita dengan tali pertunangan. Kenapa perlu Farid dera perasaan
dan hati Aina? Kenapa?”
“Sebab antara
kita memang tiada keserasian. Farid tak dapat nak tipu
perasaan Farid lagi. Selama ni, hubungan yang terjalin antara
kita, macam ada yang tak cukup. Aina selalu sibuk dengan
kerja. Sampaikan takda masa langsung untuk Farid. Bukan sekali,
tapi berkali-kali. Bila Farid nak jumpa, Aina letihlah,
penatlah, sibuklah..macam-macam alasan Aina. Farid tak boleh.
Rasa macam diri ni tak wujud.”Farid meluahkan apa yang
terpendam di dalam hatinya selama ini. Aku akui semua itu.
Tiap kali Farid ajakku keluar aku sering sahaja menolak
pelawaannya.
“Jadi sebab
itu, Farid mula berubah kasih?”soalku.
Farid
menganggukkan kepalanya. Mengiyakan sahaja pertanyaanku.
Aku meraup
mukaku. Aku tidak sangka pula, kesibukan aku di butik milikku
itu membuatkan hubunganku dengan Farid makin jauh. Langsung
aku tidak pedulikan perasaan Farid. Aku memang tiada masa
untuk bercinta atau menyulam kata-kata cinta pada Farid. Masa
ku begitu terhad sekali.
Adakala aku ada masa terluang, aku
lebih menghabiskan masa bersama keluarga atau aku hanya akan
berehat di rumah sahaja..
“Sekarang
jelas?”
Aku menganggukkan
kepalaku perlahan. Segalanya sudah jelas dan semua pertanyaan
yang bersarang di hati sudah terungkai. Aku mula menyedari
akan kesilapanku ini. “Maafkan Aina. Kadang-kadang apa yang
berlaku itu langsung tak menyedarkan Aina. Apa pun, Aina
doakan agar Farid dengan isteri bahagia selama-lamanya.”
“Terima kasih
Aina kerana faham keadaan Farid. Farid yakin, selepas
ini..pasti ada yang lebih baik akan gantikan tempat Farid.”
“Sudah di atur
Tuhan semua ini. Kalau kita teruskan jugak, tentu masalah akan
datang lebih rumit lagi. Eloklah kita berpisah sebelum kita
betul-betul terikat. Tak guna juga memaksa jika jodoh tu,
bukan milik kita berdua.”aku menggagahkan diriku untuk
berhadapan dengan ini semua.
“Farid minta
maaf sebab khianat pada cinta kita.”
“Tak apa-apa,
Farid. Tuhan tahu apa yang di aturkannya. Walaupun rasa sakit
sekali di hati ni, pasti akan sembuh juga nanti.”diketap
bibir lama. Diseka airmata yang laju mengalir.
Tidak tahu,
bagaimana harus berhadapan dengan orang sekeliling lagi.
Semuanya sudah tahu akan perkahwinan yang tidak lama lagi
bakal berlangsung.
Mana mahu
kuletakkan muka ini? Apa mahu kujawab, bila ada yang menyoal
akan semua ini? Berat sekali untuk aku berhadapan dengan ini
semua. Berat sekali dugaan yang perlu aku hadapi kali ini.
Aku tidak tahu, apa pula tanggapan orang pada aku selepas
ini. Dalam usia 38 tahun begini, tetap tidak temui jodoh.
Ternyata jodoh yang ada di depan mataku sebelum ini, bukanlah
untuk diriku. Sampai bila, aku harus menanti dan perlukah aku
sendiri yang mencarinya?
“Aina.. Farid
terpaksa pergi dahulu. Isteri Farid tunggu dalam kereta. Nanti
apa pula katanya nanti.”
Aku hanya
menjawab dengan anggukan kepala sahaja.
“Jaga diri
baik-baik. Farid tahu, Aina akan dapat lelaki yang lebih baik
nanti. Ada hikmah semua ni.”
“Insya Allah.
Pergilah. Nanti apa pulak kata isteri Farid. Salah-sangka pula
pada Aina.”
Dihantar Farid ke
arah kereta dengan lirikan mata sahaja. Memang rasa sebak
sekali hatiku ini, kupendam sahaja. Siapa yang tidak terasa
terluka dan kecewa bila hubungan yang bakal terbina musnah
ditengah jalan begitu sahaja. Memang perit sekali hati ini.
Dengan linangan
airmata yang terus mengalir di wajah ini, sudah membuktikan
betapa terlukanya aku pada saat ini. Walau rasa diri begitu
di khianati, tetapi aku tetap perlu teruskan semua ini, tanpa
Farid. Aku perlu buangkan perasaan aku pada Farid. Tidak perlu
aku simpan lagi perasaan pada dia lagi.
Aku hanya mampu
berdoa, semoga hubungan mereka kekal selamanya dan terus
berbahagia. Tak akan sesekali aku mendoakan yang buruk pada
Farid dan isterinya. Apa pun sekali yang Farid lakukan pada
aku, tak akan sesekali aku membalas perbuatannya itu. Biar ia
habis begitu sahaja.
“MANA kamu
pergi ni Aina?”
“Jumpa kawan
mak.”
“Kawan atau
Farid?”soal emak serius.
“Kawan.”jawabku
ringkas.
“Jangan tipu
mak, Aina. Kamu pergi jumpa Farid kan?”
Aku tundukkan
kepala. Tidak berani membalas pandangan mata emak yang begitu
tajam sekali. Bagaikan mahu menelanku sahaja. Pasti aku takut
untuk membalas pandangan mata itu, kerana memang aku bersalah.
Aku menipu. Jika aku tidak menipu emak, pasti aku berani
membalas pandangan matanya.
“Buat apa, kamu
pergi jumpa Farid lagi? Kamu pergi merayu pada dia? Kamu tak
malukah Aina. Terhegeh-hegeh kejar lelaki yang tinggalkan kamu
tu.”marah sekali emak pada aku. Terlalu cepat emak membuat
anggapan pada aku.
“Tak, mak.”
“Habis tu, kamu
jumpa dia buat apa? Dia dah contengkan arang kat muka kita
ni. Semua orang tahu, kamu akan kahwin lagi beberapa bulan.
Sekarang tak jadi. Mana mak dan ayah nak letak muka? Malu
kami, Aina. Tergamak Farid buat kita macam tu.”aku tahu, emak
juga pasti terluka dengan ini semua. Dia cukup tertampar
sekali, bila perkahwinanku di batalkan pada saat akhir.
“Dah bukan
jodoh kami.”
“Cara kamu
cakap tu, macam tak rasa sakit hati dengan apa yang Farid
dah buat tu. Buta ke, hati kamu tu, Aina?”
“Biar buta hati
mak dari buta akal. Biarlah apa yang orang nak buat kat
Aina. Aina terima je. Dah tertulis dalam diari hidup Aina
akan hadapi semua ni.”
“Ya Allah, Aina!
Apalah yang dah menghasutkan hati kamu ni? Dah tak
berperasaankah kamu ni? Senang-senang nak maafkan orang yang
dah sakitkan hati kamu. Kalau mak..sekali dia datang melutut
minta maaf, tak akan mak berikan kemaafan tu. Senang-senang
dia jatuhkan harga diri kamu.. Macam tu, kamu nak biarkan?”
“Habis tu, mak
nak Aina buat apa? Mak nak Aina balas dendam pada Farid? Mak
nak Aina hancurkan hubungan Farid dengan isteri dia?”mataku
paling ke arah emak yang memotong bawang. Di potong dadu
bawang besar dan juga sedikit bawang putih.
“Takdalah, sampai
macam tu.”
“Tuhan pun
maafkan dosa hamba-hambaNya, apatah lagi kita ni mak.
Maafkanlah yang terbaik. Tak baik hidup bermusuhan dalam dunia
ni.”balasku tanpa mempeduli perasaan emak.
“Suka hati
kamulah, Aina. Mak tak mahu orang pijak kepala kamu dengan
kebaikan diri kamu tu. Lagipun kamu tu bukannya muda lagi.
Dah 38 tahun. Tak jadi lagi kali ni. Ini dah masuk kali
ke-5 kamu putus tunang. Emak pun tak tahu, apa nak buat pada
kamu ni Aina. Entah kena badi apa?”
“Mana ada kena
badi? Dah nasib Aina macam ni..terima je la. Bukannya susah
pun.”
“Mak rasa kamu
ni, kena pergi bawa berubat. Biar hilang badi-badi dalam badan
kamu tu.”
“Mak ni, percaya
sangat benda-benda karut macam tu. Semua ni ketentuan Allah.
Takda kena mengena dengan badi-badi tu semua. Ini takdir
kehidupan untuk Aina hadapi, mak. Karut je, nak mandi bunga ke
apa.”aku tidak setuju sekali dengan pendapat emak.
“Umur kamu
sekarang dah 38. Orang lain, dah anak 3- 4 orang. Kamu ni,
kahwin pun tak lagi.”
“Mak. Dah belum
sampai jodoh. Mak kena faham tu.”
Aku terus
melangkah masuk ke dalam bilik. Telinga aku sudah letih mahu
dengar bebelan emak yang membingitkan ni.
Aku pun tak
pernah minta jadi macam ni. Aku pun mahu juga hidup bahagia
macam orang lain juga. Cuma masanya masih belum tiba. Perlukah
aku terima sahaja cadangan emak.?